JIKA dulu, Elly Mazlein, 36, merasakan pendekatan berdiam diri adalah cara terbaik untuk tidak menghebahkan punca perceraiannya dengan bekas suami, Azmi Hata, 41, namun sekarang tidak lagi.
Clik here to view.

Elly Mazlein dituduh curang?
Merasakan dirinya teraniaya apabila terlalu banyak fitnah berhubung perkara itu sejak akhir-akhir ini, penyanyi yang popular dengan lagu Sabarlah Hati ini bertegas untuk mendedahkan perkara sebenar.
Lebih-lebih lagi apabila versi kisah perceraiannya itu dipercayai disebarkan oleh pihak ketiga. Oleh sebab itu, Elly menegaskan sudah tiba masanya dia membuka cerita sebenar biarpun maklum tentang kesan jangka masa panjang berhubung tindakannya itu.
Ini kerana tegas Elly, kisah perceraiannya tersebut perlu dihentikan segera kerana dia enggan dikaitkan lagi dengan bekas suaminya itu.
Sementelah masing-masing sudah mempunyai haluan hidup sendiri, tegas Elly tindakannya itu bertujuan untuk memperbetulkan keadaan dan tidak mahu sebelah pihak saja yang membuat spekulasi.
Kenapa sekarang Elly baru mendedahkan cerita perceraian ini?
“Semua orang tahu yang saya seorang perahsia tentang hal peribadi. Dari zaman bertunang sampailah semasa berpantang selepas melahirkan Putri Zara Sefhia, saya mengelakkan publisiti yang tidak mendatangkan manfaat kerana mahu menjaga aib diri dan bekas suami.
“Bagaimanapun semakin saya berdiam diri, semakin banyak cerita yang tidak betul sampai ke telinga saya. Lebih-lebih lagi selepas saya membuat kemunculan semula dalam industri hiburan.
“Baru-baru ini saya dapat tahu tersebar fitnah yang kononnya bekas suami menceraikan saya kerana dia ‘tangkap’ saya dengan lelaki lain sewaktu saya menjalani penggambaran untuk sebuah drama di Pulau Langkawi.
“Teringin juga saya nak tahu siapakah lelaki yang ditangkap bersama-sama saya itu? Sedangkan ketika itu, bekas suami datang membuat kejutan di hotel penginapan ketika saya sedang menjalani penggambaran selama sebulan di pulau berkenaan.
Jadi, siapa sebenarnya yang mahu bercerai? Elly atau Azmi?
“Sebenarnya, saya sendiri yang menuntut perceraian dengan bekas suami dan pergi ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebanyak dua kali. Kali pertama pada 1 September 2015. Hakim ketika itu, Rosdi Hanapi menasihatkan saya untuk berfikir panjang tentang keputusan saya.
“Pun begitu, selepas berlaku pertengkaran tidak lama kemudian, saya sendiri yang menghubungi pihak mahkamah untuk menguruskan perceraian. Akhirnya pada 15 Oktober 2015, jatuhlah talak kepada saya dan idah saya berakhir pada selepas kelahiran Sefhia pada 9 Mac lalu.
“Sepanjang perceraian saya, bekas suami langsung tidak bertanya khabar sehinggalah Sefhia lahir. Saya yang sedang sarat mengandung memandu sendirian ke hospital pada hari pemeriksaan kandungan. Masa itu dia sibuk shooting, jadi kami jumpa di hospital saja.
“Hendak dijadikan cerita, pintu rahim saya sudah terbuka sebanyak dua sentimeter. Bekas suami meminta saya untuk pulang ke rumah dan dia kata akan menghantar saya ke hospital pada sebelah malam. Tapi petanda untuk bersalin semakin dirasai sejurus selepas saya sampai ke rumah.
“Saya dimasukkan ke bilik bersalin pada 1 tengah hari sebelum melahirkan anak pada 6.35 petang. Saya ditempatkan ke wad dalam pukul 8 malam. Kira-kira pukul 10 malam, bekas suami sudah sibuk mahu pulang. Sedangkan sebelum itu, dia sudah berjanji untuk menjaga saya hingga selepas habis berpantang.
Maksudnya, Elly tuduh Azmi mungkir janji?
“Iya. Saya merayu kepadanya untuk tidak meninggalkan saya (ketika itu) tetapi tidak dilayan. Lebih-lebih lagi selepas Sefhia terkena demam kuning. Dalam keadaan sedih dan bersendirian, jururawat hospital itu memberi idea kepada saya untuk menukarkan bilik saya agar berdekatan dengan bilik Sefhia mendapat rawatan.
“Terubat rasa sedih apabila dapat menjenguk dia 10 ke 15 minit sekali. Sebenarnya ada banyak cara kalau bekas suami nak ‘menghalalkan’ cara melayan saya yang ketika itu sedang berpantang. Saya tahu kami bukan lagi suami isteri.
Habis itu, Elly marah tak?
“Saya tak marah. Itu adalah perkara yang harus saya telan. Cuma saya tidak sangka dia boleh jadi (bertukar sikap) macam itu. Selama ini saya tidak pernah berkira. Tak sangka saya dibalas sebegitu rupa.
“Kalau saya berkira, saya akan ungkit tentang wang hantaran (berjumlah RM11,111,11) yang belum lagi saya dapat sampai ke hari ini. Tak apa saya halalkan semua itu. Malah dalam banyak perkara sekali pun, saya banyak berlebih kurang dengan dia. Dalam bab ekonomi, penginapan dan belanja bulan. Saya tak pernah berkira.
Takkanlah Azmi tak pernah pujuk Elly?
“Pernah, dia pujuk saya menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas) pada Disember 2015. Begitu juga ketika hari jadi saya pada 17 Disember, dia ada memberi ucapan. Waktu itu hati saya sudah tak boleh lagi menerima kepalsuan yang dilakukan dia.
“Saya sudah serik kerana telah terlalu banyak memberi peluang kepadanya. Akhir-akhir sekali, hati saya yang terluka. Terkini, tentang cerita punca perceraian saya ini yang khabarnya keluar dari mulut bekas suami kemudian disebarkan oleh pihak ketiga.
Boleh tahu, siapa pihak ketiga yang dimaksudkan Elly?
“Orang itu rapat dengan bekas suami. Bekas suami bercerita kepada pihak berkenaan. Selepas itu individu berkenaan menyampaikan cerita kepada orang lain hingga menjadi buah mulut dalam industri hiburan.
Jadi apa yang Elly nak buat sekarang ini?
“Saya mohon supaya lepas ini jangan lagi menyebut tentang saya. Sudah-sudahlah bercerita yang bukan-bukan tentang saya. Saya sudah bertenang dan reda dengan kehidupan sendiri. Setiap hari saya berdoa yang baik-baik buat bekas suami dan kehidupan baharunya.
“Saya tak mahu bertelingkah dengan perkara yang tidak hebat mana pun. Lebih bagus bercerita tentang perkara yang baik. Lagi banyak kita bercerita tentang keburukan orang, lagi banyak orang tahu sisi buruk kita.
“Saya tahu kekurangan bekas suami. Walaupun banyak tuduhan buruk dilemparkan, saya tidak akan ambil tindakan undang-undang. Tapi jangan keterlaluan sebab kalau keadaan memaksa saya tidak teragak-agak untuk pergi ke peringkat seterusnya.
Bagaimana penerimaan keluarga tentang khabar angin Azmi ‘tangkap’ Elly dengan lelaki lain di Pulau Langkawi?
“Dia tiada lagi tempat lagi dalam keluarga kami. Bagaimanapun perkara membabitkan Sefhia, saya dan keluarga kekal profesional.
Sumber: Utusan Online