JASIN, 16 Jun ― Video kayu penghadang yang tiba-tiba bergerak sendiri mempunyai hikmah tersendiri apabila kejadian misteri itu menarik ramai anak muda ke sebuah masjid di sini.
Zakaria Lani, siak Masjid Jamek Tedong, berkata kejadian yang berlaku pada 2.30 pagi 25 Mei lalu menarik ramai generasi muda untuk beribadah pada waktu malam.
“Kami tidak pernah menghalang mereka berniat untuk beriktikaf di masjid walaupun pada mulanya ada segelintir sebenarnya berada di masjid kerana mahu terserempak dengan kejadian seperti dirakam CCTV.
“Namun saya difahamkan mereka turut melakukan qiamullail. Bagi saya, kejadian aneh itu bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak, sebaliknya lebih kepada mengagungkan kekuasaan Allah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Video itu menunjukkan dua keping kayu penghalang yang mempunyai roda, di belakang pintu solat wanita, didapati bergerak-gerak sendiri seolah-seolah digerakkan oleh angin.
Bagaimanapun pengerusi masjid Datuk Akhbar Ali tidak yakin ia disebabkan faktor angin.
“Kalaulah angin puting beliung, mengapa penghadang tu tidak tumbang, [dan] bahagian-bahagian lain masjid tidak rosak dan kawasan sekitar tidak tersentuh pun?
“Mengapa dua penghadang itu tidak bergerak serentak sekali pun berlainan arah? Mengapa penghadang itu boleh 'berehat' serta-merta? Apa berlaku pada momentumnya?” katanya.
Menulis di Facebook awal pagi ini, beliau terus bertanya: “[Apakah] angin boleh bertiup dari celah dinding? Mengapa kipas angin tidak kuat berpusing?”
Peristiwa aneh itu dikesan selepas Zakaria bersama seorang lagi jemaah masjid memainkan rakaman CCTV dua minggu selepas hari kejadian.
Mereka pada mulanya mahu melihat rakaman murid Sekolah Kebangsaan Tedong mengadakan qiamullail di masjid sama 28 Mei lalu tetapi tidak menyangka melihat kejadian pelik berkenaan.
“Pada mula saya menyangka penghadang kayu itu ditiup angin, tetapi arah pergerakannya melawan angin menyebabkan kami kehairanan.
“Ia seolah-oleh digerakkan sesuatu yang tidak dapat dilihat,” Zakaria dilaporkan berkata.
Video selama 108 saat itu menjadi viral di media sosial selepas dikongsikan Akhbar menerusi Facebook, Selasa lalu.
Akhbar berkata video itu dikongsikan bukan untuk menakutkan jemaah datang ke masjid tetapi menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah.
“Mungkin ada yang menganggap kejadian pelik itu bertujuan menakutkan-menakutkan jemaah tetapi niat saya hanya mahu menunjukkan kebesaran Allah yang ada di mana-mana sahaja dan mengikut kemahuan-Nya,” beliau dilaporkan berkata.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW