KATA pak menteri, untuk menambah pendapatan, rakyat perlu melakukan lebih daripada satu kerja.
Bukan hanya mengharapkan kerja hakiki sambil menanti gaji bulanan masuk akaun bank.
Itu kata pak menteri la. Bukan kata saya.
![Kisah runner: Pelanggan minta belikan burger]()
Kisah runner: Pelanggan minta belikan burger
Dalam kehidupan seorang runner, ada yang melakukan kerja itu sepenuh masa dan ada juga melakukannya sambilan.
Melalui temu bual ada dalam kalangan mereka raih pendapatan lebih RM3,000 sebulan.
Mula bekerja 12 tengah hari kerana pada awal paginya bersama isteri menjual nasi lemak. Agak popular nasi lemaknya di Shah Alam.
Pendapatan runner sahaja mencecah RM3,000 belum lagi ditambah hasil jualan nasi lemak. Lumayan bagi seorang yang rajin.
Terpanggil untuk menyelami bagaimana seorang runner meraih pendapatan sampingan, saya, daripada seorang wartawan bertukar kerjaya selama seminggu menjadi seorang runner.
Mula bekerja selepas 7 malam. Kereta dan motosikal sudah siap sedia untuk tugasan sampingan.
Sebelum itu segala promosi sudah dilakukan, dengan bantuan seorang rakan yang juga seorang runner.
Hari pertama adalah hari yang mencabar buat saya. Tiga jam menunggu masih belum ada hasil.
Tidak disangka, 15 minit sebelum detik jam 12 tengah malam, saya mendapat satu kerja.
Tugas diterima adalah membeli roti canai 10 keping di sebuah restoran di Seksyen 7.
Tergelak pada mulanya mendapat tugasan itu namun teringat pula pada cerita seorang runner di mana dia pernah menghantar sebutir skru ke pantai timur.
Tugas membeli roti canai itu dilakukan dengan sempurna. Upah yang diterima? Boleh la…RM20. Saya tidak minta tetapi dihulurkan dengan upah sebanyak itu.
Satu tugasan sahaja dilakukan pada hari pertama. Dapat pula upah RM20.
Keesokan harinya, saya mendapat peluang untuk membeli barangan di sebuah pasar raya.
Ada sayur, ada buah, ada roti, ada daging dan ada coklat.
Sesudah dihantar ke pelanggan di Seksyen 24, upah yang diterima RM30 dan ada hadiah pula.
Rupanya coklat yang dibeli itu untuk saya. Dapat duit, dapat coklat. Untung apabila kita berbahasa dengan pelanggan.
Sepanjang seminggu itu, pelbagai tugasan yang saya terima. Belikan burger pun pernah.
Kata rakan runner itu, jangan pilih kerja jika hendak tahu bagaimana kehidupan seorang runner.
Atas kata-kata itu, saya menyahut cabaran asalkan tujuan saya tercapai.
Seminggu menjadi runner saya dapat rasakan sedikit kehidupan diharungi seorang runner.
Bagi seorang runner, mereka sentiasa perlu bersedia dengan kehendak pelanggan. Lakukan kerja penuh ikhlas tanpa mengharapkan bayaran lumayan.
Jika kita terlampau ‘main harga’ kelak perkhidmatan akan cepat berakhir.
Jangan menidakkan kuasa pelanggan. Sekali dia sebarkan cerita perkhidmatan kita tidak bagus, anda dalam bahaya.
Jadi, untuk menjaga mutu perkhidmatan anda, jujur, amanah dan berbudi bahasa itu amat diperlukan.
Pada saya, seminggu menjadi seorang runner, cukup memuaskan dan bersyukur dengan hasil yang diraih.
Dalam seminggu sahaja, saya sudah boleh mendapat sebanyak RM200. Ia sudah cukup untuk merasai bagaimana kehidupan dilalui seorang runner mencari sumber pendapatan sampingan.
Sumber:Sinar
lagi info di :
MALAYSIA TRENDING NOW