Seorang wanita hamil sembilan bulan ditahan bersama tiga lelaki termasuklah teman lelakinya kerana disyaki berkhalwat dalam operasi di sebuah hotel di Jalan Lencong Barat, di sini, malam tadi.
Bersama tiga lelaki bukan mahram dalam bilik hotel, wanita hamil 9 bulan dicekup berkhalwat
Ketika pemeriksaan dilakukan, wanita berusia 26 tahun didapati bersama tiga lelaki bukan mahram dalam bilik hotel dalam keadaan mampu menimbulkan syak wasangka.
Katanya, dia yang bernikah seawal usia 16 tahun mendakwa sudah kematian arwah suami dalam satu kemalangan jalan raya beberapa tahun lepas di Langkawi.
Difahamkan, dia memiliki lima anak berusia antara 2 hingga 12 tahun, bagaimanapun beberapa anak diletakkan bawa penjagaan keluarga angkat, manakala anak bongsu bersama keluarga arwah suaminya.
Wanita berkenaan kini hamil anak keenam.
Katanya, dia sudah tidak memiliki keluarga, dan tinggal bersama pasangannya di kediaman lelaki yang bekerja sendiri berkenaan hampir setahun.
Tambahnya, mereka hanya berhenti rehat di hotel itu, memandangkan dia keletihan akibat mengandung dan dijangka melahirkan bayi lelaki pada hujung bulan Februari ini.
Sementara, dua lagi lelaki yang turut ditahan dalam bilik hotel sama, didakwa hanya membantu mereka untukmenyiapkan proses dokumentasi perkahwinan di Songkhla.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penguat kuasa Undang-undang Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Syeikh Mohd Rasydan A Rahman, wanita itu dan tiga lelaki dicekup dalam pemeriksaan kira-kira 12.30 tengah malam.
Menurut Rasydan, siasatan awal mendapati mereka berusia antara 20 hingga 30 an itu tinggal sekitar Bandaraya Alor Setar, namun tidak memiliki hubungan mahram.
“Ketika disoal, mereka memaklumkan teman lelaki memaklumkan dia menunggu pasangan yang hamil berehat akibat keletihan di bilik sebelum dicekup penguatkuasa Jaik,” katanya.
Keempat mereka yang ditahan di bilik hotel berkenaan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk laporan tangkapan, sebelum dibawa ke Pejabat Jaik untuk siasatan lanjut.
Mereka disiasat dibawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara, ataupun kedua-dua sekali.
Dalam perkembangan lain, menurut Rasydan, empat pasangan berusia lingkungan 20 an turut ditahan dalam operasi disertai kira-kira 34 penguatkuasa Jaik bermula jam 11 malam hingga 4 pagi itu.
Katanya, mereka ditahan dalam pemeriksaan dilakukan di beberapa kawasan, seperti Tanjung Chali, Jalan Pegawai dan Taman Rimba kerana disyaki berdua-dua dalam kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Untuk itu, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000, atau penjara tidak lebih enam bulan, ataupun kedua-duanya sekali.
Sumber:Sinar
Sumber
Bersama tiga lelaki bukan mahram dalam bilik hotel, wanita hamil 9 bulan dicekup berkhalwat