Kalanick memaki Fawzi Ka­mel, 37, yang ketika itu sedang membawanya, selepas pemandu itu merungut pendapatannya semakin merosot dan menyalahkan struktur tambang yang dilaksa­nakan Uber.

Melalui e-mel kepada Fawzi, Kalanick, 40, memberitahu beliau merasa ‘malu’ terhadap tingkah lakunya dan mengakui perlu bersikap ‘lebih matang’.

Dua minggu lalu, beliau turut memohon maaf kerana ‘membenci’ fahaman seksisme di Uber.

Malah pada Isnin lalu, Kala­nick telah meminta ketua juruteranya, Amit Singhal untuk meletak jawatan berhubung perkara tersebut.

Portal Bloomberg menyiarkan rakaman video itu yang menunjukkan pergaduhan antara Kalanick dan Fawzi yang menjemputnya awal bulan lalu.

Selepas bertegang urat tentang tambang rendah yang dilaksanakan Uber, Kalanick lantas memberitahu pemandu itu; “Ada orang yang tidak suka mengambil tanggungjawab..mereka menyalahkan orang lain terhadap apa yang berlaku dalam hidupnya. Selamat Maju Jaya!.”

Semasa pergaduhan itu, CEO berkenaan dilihat turut memaki Fawzi, lapor portal BBC.

Dalam memo kepada kakita­ngannya, Kalanick menulis: “Pada saat ini saya amat pasti kamu semua telah menonton rakaman video yang memaparkan cara saya melayan pemandu Uber tanpa rasa hormat. Saya merasa malu terhadap kenyataan itu.”

“Tugas saya sebagai ketua ada­lah untuk memimpin dan ia bermula dengan sikap yang boleh membuat kita semua bangga namun bukan itu yang saya lakukan dan ini tidak boleh diperjelaskan,” katanya.

Ujar beliau, amat jelas rakaman video itu adalah gambaran dirinya dan kritikan yang dite­rima merupakan suatu peringatan sebenar yang pada dasarnya wajib beliau ubah sebagai seorang pemimpin dan bersikap matang.

“Ini merupakan kali pertama saya rela mengakui bahawa saya memerlukan bantuan kepemim­pinan dan saya akan mendapatkannya. Justeru saya memohon maaf kepada Fawzi termasuk semua pemandu dan pasukan Uber,” ujar beliau.