Empat suspek termasuk dua wanita ditahan Sabtu lalu kerana disyaki terbabit dalam kes penemuan bom di sebuah kondominium di Damansara Perdana bulan lalu.
Clik here to view.

Bom di D’sara Perdana: 4 suspek belajar buat bom di Internet
Akhbar China Press melaporkan, kumpulan suspek itu belajar cara membuat bom melalui Internet dengan menggunakan bahan-bahan dalam mercun dan bunga api.
Difahamkan, suspek akan mengikat bom buatan sendiri mereka dengan telefon bimbit dan meletupkan secara kawalan jauh untuk melakukan kegiatan jenayah termasuk pecah rumah dan rompakan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah yang dipetik BERNAMA berkata, empat suspek berumur 31 hingga 40 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Ampang kira-kira jam 1 pagi Sabtu lalu.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis BMW yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta beberapa peralatan pecah rumah termasuk tracker dan gps mobile,” katanya dalam sidang media semalam.
Beliau berkata, polis masih menyiasat sejauh mana kumpulan itu menggunakan bom buatan sendiri ini dalam kegiatan jenayah mereka.
Jelasnya, semua suspek direman sehingga hari ini untuk disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
Pada 17 April lalu, lebih 200 penduduk kondominium di Damansara Perdana gempar dengan penemuan tujuh bom tangan dalam sebuah unit kediaman itu kira-kira jam 4.30 pagi.
Selain bom, polis turut menemui alat elektronik, dadah yang disyaki syabu seberat dua kilogram dan sejumlah pil Eramin 5.
Sumber: Free Malaysia Today