Beberapa minggu lalu, MH Online didatangi seorang wanita, Suraya (bukan nama sebenar) yang mendedahkan perhubungan cinta antara anak gitaris terkenal dengan suami orang dan mereka juga sudah mengikat tali pertunangan.
Menerusi Suraya, MH Online berjaya mendapatkan wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama Nor, yang juga isteri lelaki terbabit.
Ujar Nor, apa yang diceritakan oleh Suraya itu benar belaka dan dia pada awalnya tidak mempunyai kekuatan untuk berkongsi kisah pahit yang dilaluinya dengan pihak media kerana merasakan seperti membuka pekung di dada .
Bagaimanapun sebaik suaminya menfailkan penceraian di mahkamah, dia melihat media sebagai jalan terakhir untuk membuka mata keluarga gitaris tersebut.
“Tiada siapa yang suka kisah peribadinya dikongsi, di baca dan diketahui orang lain. Saya tidak ada cara lain selain membuka cerita pahit ini.
“Gitaris tersebut dan isterinya tahu mengenai suami saya yang sudah pun berkahwin. Tapi saya tidak pasti kenapa dia masih benarkan anaknya untuk terus bersama suami saya.
“Bukan saya tidak pernah mendekati secara baik, tapi mereka menolak untuk berjumpa saya. Lalu cara apakah untuk saya meminta agar mereka memujuk anak mereka?” ujar Nor.
Tambah Nor lagi, perhubungan cinta mereka bermula ketika suaminya menyertai syarikat gitaris tersebut Jun tahun lalu.
Beberapa bulan selepas itu, dia didatangi anak gitaris tersebut sebagai seorang sahabat yang baik dan tidak lama selepas itu anak gitaris tersebut telah membuat pengakuan bahawa dia mencintai suaminya.
“Semuanya berlaku terlalu pantas, mereka kemudiannya mengikat tali pertunangan pada bulan November dan suami saya seterusnya tidak balik ke rumah pada Disember dan saya menerima notis perbicaraan penceraian pada bulan Januari.
“Saya akui ada naik tangan ke muka suami ketika saya mendapat tahu dia mengikat tali pertunangan di belakang saya, walhal ketika itu dia beritahu saya, dia ada urusan di luar daerah,” katanya yang bertindak sebegitu kerana kecewa.
Nor berkata, dia masih meletak harapan untuk meneruskan perkahwinan, apatah lagi tiga cahaya mata mereka sangat rapat dengan suaminya.
“Saya dan suami bercinta selama setahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 2011. Semuanya okay di awal perkahwinan dan suami melayan saya dengan begitu baik. Anak-anak juga rapat dengannya.
“Tapi bila dia berubah dalam sekelip mata sehingga tidak lagi pulang ke rumah, siapa yang tidak kecewa? Anak-anak juga sering bertanya di mana ayah mereka.
“Bagaimanapun saya masih berharap perkahwinan ini dapat diselamatkan kerana saya kenal suami macam mana. Cuma saya kecewa, bukan hubungan saya dengannya sahaja yang terjejas, malah ibu mertua saya juga secara tiba-tiba dikatakan tidak pernah menyukai saya.
“Padahal sebelum ini hubungan saya dengan ibu mertua baik saja dengan saya dan ibu mertua pernah menemani saya serta anak-anak membuat persiapan raya tahun lepas,” katanya.
Nor berkata, dia tidak kisah untuk hidup berpoligami andai benar suaminya mampu.
Bagaimanapun dia berharap agar anak gitaris tersebut dan suaminya datang dan meminta restu secara baik.
“Dia kata dia pernah datang untuk meminta kebenara dan saya tak benarkan. Tapi saya nak tanya, bila dia berbuat demikian?
“Dia hanya mesej saya dan tiba-tiba dia maki saya macam-macam menerusi laman sosial miliknya seolah-olah saya yang rampas suaminya,” ujarnya.
Nor berkata, apa yang diharapkan kini dapat bertemu dan berbincang dengan suaminya tanpa gangguan dari keluarga gitaris tersebut.
“Anda bayangkanlah, kalau ke mahkamah pun suami ditemani, macam mana saya mahu mendekati dan berbincang dengan suami?” akhirinya.
Sumber: Media Hiburan
Sumber
Isteri dedah dimaki anak gitaris terkenal Malaysia yang bertunang dengan suaminya