Apakah yang menyebabkan timbulnya bantahan bukan Islam terhadap rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah(Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 yang dikemukakan oleh PAS dengan sokongan Umno?
Bantahan ini tidak sahaja daripada DAP tetapi juga MCA – parti komponen BN sendiri yang bersetiakawan dengan Umno sekian lama.
Sejak merdeka, orang bukan Islam tidak mempunyai prasangka yang buruk terhadap perundangan Islam, sebaliknya memberikan kerjasama dan menyokong peruntukan-peruntukan untuk pembangunan Islam dan penubuhan institusi-institusi agama yang memerlukan kelulusan parlimen.
Mungkin tidak ada negara Islam lain di dunia yang demokratik, yang urusan agama Islam dibawa ke parlimen dan diluluskan dengan sokongan bukan Islam.
Parti parti komponen BN dan juga pembangkang memberikan sokongan ini kerana menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara dan penghormatan kepada kuasanya di tangan raja-raja Melayu dan juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Keberanian dan ketegasan Umno dalam menentang pendekatan Islam ekstrim PAS yang bersifat ortodoks, jumud, sempit, bengis, kolot dan keras sejak sebelum dan sesudah merdeka telah memperkukuhkan lagi keyakinan bukan Islam terhadap keikhlasan Umno yang tidak mahu mengganggu kebebasan budaya dan agama bukan Islam di negara ini.
Inilah pendekatan yang dipelopori oleh perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman, kemudian oleh Tun Abdul Razak, Tun Mahathir Mohamad sehingga kepada Tun Abdullah Badawi. Inilah juga yang memisahkan Umno dan PAS.
Ancaman Islam PAS kepada bukan Islam dapat dirasakan oleh orang bukan Islam di Selangor
bila sahaja menubuhkan kerajaan bersama dengan PKR di Selangor, terdapat percubaan untuk mengharamkan penjualan arak termasuk di kedai bukan Islam dan mahu memisahkan penonton lelaki dan perempuan di panggung wayang.
Kebijaksanaan dan kehalusan pendekatan Tun Razak membolehkan pemindahan perkuburan Kristian di sebelah Masjid Negara ke tempat lain untuk mendirikan Pusat Islam tanpa menimbulkan sebarang kekecohan.
Tunku Abdul Rahman lebih banyak mengislamkan bukan Islam berbanding pemimpin Islam lain di negara ini dengan melambangkan Islam sebagai agama yang tidak menyusahkan.
Bila orang bukan Islam memberitahu Tunku bahawa sukar untuk mereka memeluk Islam kerana tak boleh minum arak, Tunku memberitahu mereka:
“Orang Islam pun ada yang minum arak, masuklah Islam dulu, minumlah dulu, lama-lama tinggalkanlah.”
Di awal kemerdekaan ketika negara masih dalam kesempitan kewangan,Tunku sanggup menerima wang loteri kebajikan masyarakat untuk pembinaan Masjid Negara.
Tunku malah menyatakan kesediaan untuk menanggung dosanya. Ketika itu dianjurkan suatu seminar ulama Malaysia yang mengharuskannya.
Antara yang memeluk Islam kerana Tunku ialah bekas ketua menteri Singapura Lim Yew Hock yang meninggal dunia di Malaysia. Beliau kawan baik Tunku sehingga ke akhir hayat.
Tunku Abdul Rahman walaupun bukan seorang yang kuat amalan agamanya tetapi beliaulah yang mengusahakan banyak pembangunan Islam yang meninggikan syiar Islam di dalam dan luar negara.
Belia mendapat kepercayaan negara-negara Islam untuk menjadi setiausaha agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang pertama.
Wajah manis Islam inilah juga yang menyebabkan kekalnya kerjasama Umno, MCA dan MIC berpuluh tahun berbanding dengan hubungan rapuh antara PAS dengan DAP semata-mata untuk keselesaan politik.
Pemimpin- pemimpin Islam Umno melambangkan Islam yang sederhana, moden, progresif, toleransi dan dasar hidup bersama dengan bukan Islam. PAS melambangkan kekarutan dan kebengisan Islam.
PAS tidak boleh menyalahkan DAP kerana tidak kekal bekerjasama dengannya kerana PAS cenderung untuk menegakkan hukum-hukum Islam secara kekerasan dan paksaan, tidak ada toleransi, tidak berdiplomasi dan mahu memaksa udang-undang Islam ke atas bukan Islam.
Maka itu apabila Umno mahu bekerjasama dengan PAS dalam pindaan Akta 355, maka timbullah kecurigaan dan prasangka buruk kepada Umno yang sejak merdeka berpegang kepada peradaban Islam yang bersifat universal.
Imej baik Umno dirosakkan oleh PAS.
Usaha Umno untuk melambangkan Islam sederhana dengan pendekatan penerapan nilai-nilai Islam, Islam Madani, Islam Hadhari dan wasatiah semuanya tercemar dalam sekelip mata bila Umno bersekongkol dengan sebuah parti Islam yang menjuarai hukuman Islam yang lebih berat ke atas orang Islam yang melakukan jenayah agama.
Maka itu tidaklah menghairankan apabila Ketua Pemuda MCA Putrajaya Kevin Koo menyifatkan versi semasa pindaan Akta 355 itu itu sebagai kompromi yang akan membolehkan Presiden PAS Haji Hadi Awang mengambil ‘satu langkah ke belakang, dua langkah ke hadapan’ dalam memperkenalkan undang-undang hudud.
Akta 355 mengenakan had ke atas hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah. Had semasa adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Rang undang-undang (RUU) persendirian Hadi itu bertujuan untuk meningkatkan had itu kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan. RUU itu tersenarai di tempat ketujuh dalam kertas aturan parlimen bagi persidangan sekarang, yang akan berakhir pada 6 April.
Dengan imej Islamnya yang telah tercemar, maka kolaborasi PAS dan Umno dalam pendekatan perundangan Islam yang menampakkan PAS di hadapan telah menggugat perasaan dan keyakinan bukan Islam terhadap keadilan Islam walaupun tidak kena mengena dengan mereka. Islam terlihat sebagai jumud dan tidak sezaman.
Kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), saya suka mengingatkan agar berhati-hati dalam menyokong Akta 355 kerana BERSATU sahajalah yang diharapkan oleh bukan Melayu untuk mengambil peranan Umno dalam pendekatan Islam yang berhemah di negara ini.
Akhirnya dengan penuh takzim, patik merafak sembah memohon Majlis Raja-raja Melayu agar tidak membiarkan integriti dan kesucian kuasa agama yang terletak di tangan baginda-baginda semua dinodai oleh kuasa politik yang berpandukan kepada survival politik dan bukan untuk survival Islam.
Patik hanya seorang rakyat biasa yang dibentuk dan diwaraskan pemikiran oleh pendekatan Islam almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, perdana menteri pertama dan perdana perdana menteri berikutnya, kecuali dalam keadaan sekarang yang banyak menimbulkan banyak kecurigaan.
Sebat Haji Hadi dulu
Komen Tan Melaka, 14 Mac 2017:
Bekas-bekas pemimpin PAS yang sekarang sedang berzina dengan isteri mereka kerana melanggar hukuman baiah talak tiga dengan melompat parti hendaklah menjadi perintis menjalani hukuman sebat 100 rotan bawah pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah.
Mereka telah bersumpah untuk mematuhi hukuman Islam PAS itu.
Sekiranya mereka membantah maka ulama besar PAS yang bertanggungjawab mengusulkan akta itu, Haji Hadi Awang hendaklah menjalani ketiga-tiga hukuman maksimum bawah pindaan itu, iaitu 30 tahun penjara, RM100,000 denda dan sebat 100 rotan kerana gagal laksanakan baiah.
TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Artikel ini dimuatkan kali pertama dalam blog beliau dengan tajuk asal “Sebat Haji Hadi dulu 100 rotan kerana gagal laksanakan baiah”.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
Sumber: Malaysiakini
Sumber
“Sebat Haji Hadi dulu 100 rotan kerana gagal laksanakan baiah” – Bekas menteri