Tak perlu risau apa Duta Korea Utara cakap. Dalam dunia diplomasi, pertarungan diplomasi atau ‘diplomatic tussle’ itu biasa. Mula-mula Negara A dan Negara B kelihatan seperti tegang, tidak mahu bertolak ansur dan masing-masing berkeras kepala. Tetapi semuanya akan kembali ke normal selepas perundingan dibuat di belakang tabir. Wisma Putra tahu lah nak buat macam mana.
Selain penting untuk menjaga kepentingan negara, ‘diplomatic tussle’ juga penting untuk menjaga air muka negara. Soal air muka adalah sangat penting bagi sebuah negara seperti Korea Utara yang membina imejnya atas bohong dan khayalan, dengan kata lain, kuat temberang.
Temberang membolehkan rejim Keluarga Kim dapat bertahan hampir 70 tahun, sedangkan dari segi ekonomi ia serba kekurangan, dilanda kebuluran dan bergantung kepada bantuan asing. Tetapi melalui temberang (atau ‘propaganda’), Keluarga Kim masih dapat mempertahankan kedudukannya.
Pernah baca novel George Orwell berjudul ‘1984’? Yang mengaku ‘hipster’ mesti pernah baca. Dalam cerita fiksyen ini, Orwell menggambarkan sebuah ‘distopia’ (kata lawan kepada ‘utopia) di mana pemerintah bernama ‘Big Brother’ telah berjaya mengawal fikiran masyarakat melalui propaganda yang memutarbelitkan kebenaran, seperti ‘war is peace’ dan ‘freedom is slavery’. Korea Utara adalah contoh terbaik negara ‘Orwellian’, dan keluarga Kim adalah ‘Big Brother’-nya.
Mula-mula, propaganda Korea Utara bertujuan untuk memberi alasan mengapa Kim Il-sung layak memerintah. Dalam poster propaganda, Kim Il-sung sentiasa kelihatan muda, segak dan gagah. Poster muka anaknya (Kim Jong-il) dan cucunya (Kim Jong-un) juga diubahsuai untuk buang lemak supaya nampak lebih kacak.
Kerajaan Korea Utara mencipta mitos yang mengatakan Kim Il-sung adalah jelmaan dewa matahari (‘il’ 일 bermaksud matahari) dan hari kelahirannya (15 April) disambut sebagai ‘Hari Matahari’ (Taeyangjeol 태양절).
Kim Jong-il pula dikatakan sebagai jelmaan bintang ‘Gwangmyeongseong’ (광명성) yang lahir di Gunung Baekdu, gunung kudus menurut kepercayaan tradisi Korea.
Ini semua adalah untuk membangunkan pemujaan keperibadian (‘cult of personality’) yang menjadikan Kim Il-sung dan keturunannya sebagai idola untuk disembah.
Rakyat Korea Utara diajar untuk mengucapkan ungkapan ‘manse’ (만세 yang bermaksud ‘hiduplah 10,000 tahun’) kepada pemimpin mereka, satu gelaran yang tak pernah dipakai oleh Raja Korea sekali pun.
Dalam sejarah, Korea adalah sebuah tributari kepada China, jadi ia hanya menggunakan ‘cheonse’ (천세 yang bermaksud ‘hiduplah 1,000 tahun’) dan ungkapan ‘manse’ (‘mansui’ dalam Bahasa Cina) adalah untuk Maharaja China yang dianggap lebih tinggi daripada Raja Korea.
Kemudian, propaganda cuba membuat rakyat menerima pemerintahan Keluarga Kim buat selama-lamanya. Dengan itu, rejim Korea Utara mewujudkan pelbagai ‘feel good factors’ dan juga ‘fear factors’.
‘Feel good factos’ cuba menyakinkan rakyat melalui berita palsu bahawa pemerintahan keluarga Kim telah berjaya membuat Korea Utara negara yang paling kaya, makmur dan maju di dunia. Korea Utara lah pemenang Piala Dunia FIFA. Korea Utara lah negara pertama sampai ke bulan. Itu dah bukan yakin diri, tetapi ilusi dan syok sendiri.
Gambar:
Poster pertama:“Dengan kekuatan dan kebijaksanaan kita, satelit buatan dilancarkan!” (uri him gwa jihyero, ingong jigu wiseong balsa 우리힘과 지혜로 인공지구위성발사!); “Menuju ke arah negara kuat dan makmur!” (gangseong daegugui cheotposeong! 강성대국의 첫포성!)
Poster kedua:“Kalau berani memulakan pencerobohan” (chimryak jeonjaengeul ireukindamyeon 침략전쟁을 일으킨다면) “kita akan hancurkan anak haram Amerika!” (miguknom buteo baksalnael geosida 미국놈부터 박살낼것이다!)
‘Fear factors’ pula cuba menimbulkan perasaan paranoia di kalangan rakyat Korea Utara. Kerajaan mendakwa negara-negara asing, tak kira US, Jepun, China atau Russia, semua mahu menganiayai orang Korea Utara.
Pembangunan senjata nuklear digunakan untuk menunjukkan ‘kehebatan’ dan ‘kebijaksanaan’ keluarga Kim dalam melindungi rakyatnya. Dan rejim Korea Utara cuba menyakinkan rakyatnya bahawa hanya Kim Il-Sung dan keturunannya sahaja yang mampu menyelamatkan Korea Utara.
Rakyat Korea Utara yang bijak sikit dan berani melawan akan dibunuh. Yang tinggal akan dicuci otak dengan pelbagai propaganda. Di mana-mana sahaja di Korea Utara anda akan melihat patung dan poster mengenai Kim Il-sung, Kim Jong-il dan Kim Jong-un. Mereka yang melarikan diri akan mengalami kejutan budaya di negara asing, seolah-olah mereka baru bangun dari mimpi ngeri.
Kim Il-sung mempunyai gelaran sebagai ‘Presiden Abadi’ (yeongwonhan juseok 영원한 주석), konsepnya lebih kurang seperti Hitler punya ‘Thousand-Year Reich” (Tausendjähriges Reich). Cuma temberang Hitler terbongkar dalam masa tidak sampai 12 tahun, temberang Korea Utara pula masih dapat bertahan kerana kepentingan kuasa-kuasa besar.
Jadi, apa nak hairan kalau Korea Utara menuduh Malaysia macam-macam, demi memuaskan imaginasi rakyatnya dan menyembunyikan kebenaran? Yang saya hairan ialah mengapa orang Malaysia yang berpendidikan tinggi, pakar ekonomi dan fasih agama pun boleh terikut-ikut dengan rentak Korea Utara?
Itu baru fitnah dari Korea Utara, pun ramai percaya. Nanti fitnah dari Dajjal macam mana?
Bacaan lanjut:
Hunik Kwon & Byung-Ho Chung (2012), North Korea: Beyond Charismatic Politics
Victor Cha (2012), The Impossible State: North Korea, Past and Future
Via:The Vocket
Sumber Temberang Pemimpin Korea Utara Kepada Rakyatnya Dan Ini Apa Kita Perlu Tahu